Saturday, 16 February 2013

PELAKON VETERAN, KUSWADINATA MENINGGAL DUNIA DI HOSPITAL AMPANG HARI INI

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 75, meninggal dunia di Hospital Ampang pada jam 5.07 petang tadi kerana menghidap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak beberapa tahun lalu.

Selain pendarahan usus, bintang Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat itu turut mengalami penyakit prostat dan masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar untuk membuang air kecil secara normal.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumahnya di Taman Rasmi Jaya, Ampang, Selangor.

BH Online, kelmarin melaporkan pelakon yang popular dengan watak ‘Abang Kus’ dalam filem Seniman Bujang Lapok itu berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke hospital yang sama sejak 9 Februari lalu.

Antara filem lain yang pernah dibintangi Allahyarham adalah Jejak Bertapak, Serampang Tiga dan Kala Malam Bulan Mengambang,

Sepanjang hayat beliau, Allahyarham Kuswadinata pernah dianugerahkan Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Kamariah Mohd Said, 57, dan empat orang anak.

No comments:

Post a Comment